Kes Lahad Datu: Ada lubang dalam bilik tertuduh - Saksi
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa sebuah lubang ditemui pada lantai sebuah bilik di rumah papan di mana seorang tertuduh kes perbicaraan pencerobohan Lahad Datu ditangkap.
Ketua Penolong Teknikal Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, DSP Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata beliau menemui dua keping papan lapis dengan pemegang kayu pada lantai bilik di mana Tani Lahaddahi ditangkap, dan mendapati adanya sebuah lubang yang cukup besar untuk dimasuki lelaki dewasa.
"Bila saya turun ikut lubang itu, tiada sebarang senjata ditemui. Tetapi ia (lubang) berbahaya," katanya.
Semasa memberi keterangan pada perbicaraan 30 tertuduh yang menghadapi pelbagai kesalahan berhubung pencerobohan itu pada Februari tahun lepas, Mohd Nasaruddin berkata bilik itu tidak mempunyai pintu dan tingkap dan tersembunyi di sebelah dapur di rumah itu.
Menurutnya, bilik itu dipisahkan daripada dapur itu hanya dengan dua atau tiga keping papan lapis yang dianggapnya agak pelik, dan selepas menarik papan lapis itu dengan mudah, beliau menemui tertuduh dan seorang wanita sedang tidur.
Mohd Nasaruddin berkata, beliau dan pasukannya diarahkan menyerbu sebuah rumah papan di Kampung Perigi di Semporna, di mana Tani dikesan oleh pasukan penjejak dari Cawangan Khas Bukit Aman pada kira-kira 9 pagi, 10 Mac tahun lepas.
Beliau berkata, semasa pemeriksaan dilakukan terhadap Tani, pihaknya menemui sebuah telefon bimbit model lama Nokia yang diserahkannya kepada Pegawai Cawangan Khas Bukit Aman, ASP Nik Adzian Wan Ismail yang kemudian mengembalikan telefon itu kepadanya empat atau lima minit kemudian.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar sama ada Nik Adzian ada memperkatakan apa-apa semasa mengembalikan telefon bimbit itu, pegawai UTK itu berkata Nik Adzian memberitahunya bahawa nombor telefon bimbit itu sama dengan nombor telefon yang dicarinya.
Mohd Nasaruddin berkata, beliau yakin lelaki yang bersembunyi di dalam bilik itu adalah suspek yang dicari polis.
Beliau menjelaskan ini berdasarkan gambaran yang diberikan oleh pegawainya bahawa suspek seorang yang tinggi, berkulit cerah dan berusia dalam lingkungan 60-an.
Katanya, beliau juga bertanya kepada tertuduh sama ada dia Tani pada hari penangkapannya, dan lelaki itu mengakui ia adalah namanya.
Mohd Nasaruddin berkata, beliau dan pasukannya kemudian membawa tertuduh dan enam penghuni lain rumah itu ke ibu pejabat polis Semporna untuk melaporkan mengenai penangkapan itu.
Di dalam kandang tertuduh adalah 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan yang berdepan satu atau pelbagai pertuduhan.
Mereka didakwa menganggotai kumpulan pengganas, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.
Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok. - BERNAMA

0 comments :
Post a Comment