Blog Arkib

Piala Axiata: Mula langkah kanan, namun belum selamat

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Malaysia memulakan kempen mempertahankan kejuaraan badminton Piala Axiata dengan langkah kanan selepas menumpaskan Vietnam 3-1 di Britama Arena, Jakarta hari ini.

Namun, peluang pasukan negara untuk mempertahankan gelaran pada kejohanan lumayan bernilai AS$1 juta (RM3.35 juta) masih belum selamat, apatah lagi bakal berdepan lawan yang dianggap jauh lebih sukar, All Star Asia esok.

Turun tanpa jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, Malaysia masih boleh bersandar kepada Chong Wei Feng untuk menghadiahkan mata pertama selepas pemain No. 32 dunia itu menundukkan Nguyen Hoang Nam 21-13, 21-17.

Namun begitu, pemain remaja berusia 18 tahun, Ho Yen Mei gagal memulakan aksi dengan baik apabila tewas 19-21, 13-21 kepada Vu Thi Trang dalam perseorangan wanita untuk kedudukan terikat 1-1.

Pengalaman beregu lelaki, Tan Boon Heong-Hoon Thien How serta beregu campuran, Chan Peng Soon-Ng Hui Lin memastikan Malaysia tidak menghadapi masalah untuk mengutip dua mata berikutnya.

Thien How-Boon Heong menundukkan Dao Manh Thang-Le Ha Anh, 21-17, 21-18, manakala Peng Soon-Hui Lin menang 21-16, 21-13 ke atas Duong Bao Duc-Dang Kim Ngan.

“Kami memulakan kempen dengan baik seperti yang diharapkan tetapi cabaran masih sangat berliku kerana ada ramai lawan kuat yang menanti selepas ini, bermula dengan All Star Asia esok.

“Kami masih ada tujuh perlawanan untuk diharungi. Selepas tamat semua perlawanan baru kita boleh lihat di mana kekuatan sebenar pasukan,” kata jurulatih beregu negara, Pang Cheh Chang.

All Star Asia berjaya mengikat tuan rumah, Indonesia 2-2 dalam satu lagi perlawanan. Kekalahan mengejut juara beregu campuran dunia 2013, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir kepada pasangan Hong Kong, Lee Chun Hei-Chau Hoi Wah 21-14, 15-21, 20-22 mendorong kepada kegagalan mereka mencatat kemenangan mutlak.

Satu lagi mata Hong Kong disumbangkan Yip Pui Ying dari Hong Kong yang menewaskan Bellaetrix Manuputy 21-14, 22-20 dalam perseorangan wanita, manakala mata Indonesia dipungut oleh Dionysius Hayom Rumbaka yang mengalahkan Hu Yun 21-19, 19-21, 21-19, sementara Muhammad Ahsan-Markis Kido menang 21-15, 21-16 ke atas Manu Attri-Sumeeth Reddy dari India. - UTUSAN
Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Post a Comment