Pada usia sekarang, AC masih mengejar peluang mencari nama sebagai penghibur
PERJALANAN karier Datuk AC Mizal adalah perjuangan kental buat dirinya yang dilihat begitu cekal mengharungi liku-liku dalam bergelar anak seni. Tiada sekelumit perkataan mengalah pun yang tertanam di lubuk hatinya. Dan berbekalkan pengalaman yang banyak, dia kini memberanikan diri untuk ‘menawan’ pasaran luar negara, sesuatu yang tidak mampu digapai oleh semua artis anak tempatan kita.
Dengan berbekalkan pengalaman selama lebih 22 tahun, AC tidak menoleh kebelakangan lagi dan kini mengorak ke hadapan untuk menjengah ke pasaran antarabangsa, antaranya Amerika Syarikat. Mahu menakluk pasaran luar, tiada ungkapan sudah terlambat mahupun lewat dalam melobikan diri ke persada antarabangsa.
Sebelum ini, percubaannya untuk menembusi pasaran Indonesia dengan mempertaruhkan lagu Paranoid dan bergandingan bersama artis Indonesia, Luna Maya dilihat menjadi.
Asalnya lagu tersebut yang merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Jeff A To Z hanya menjalani proses mastering dan mixing di Sweden, namun akhirnya lagu tersebut telah diubah dari segi susunan muzik oleh penerbit muzik di sana iaitu Hayden, yang mengikuti kesesuaian pasaran semasa.
Buktinya, biarpun baru sahaja lagu itu dilancarkan, ia menjadi siulan kebanyakan peminat yang sering mendambakan kelainan dalam muzik dan sudah tentu ia mengikut trend masa kini.
Diacu persoalan mengapa di usia 43 tahun ini baru dia terfikir mahu melebarkan sayap ke luar dan kenapa tidak di kala usianya masih mempunyai kekuatan dan keringat, AC punya alasan sendiri.
“Dulu saya tak diberikan peluang sebegini. Baru sekarang peluang itu datang. Jadi saya tidak lepaskan peluang keemasan ini. Cepat atau lambat itu terpulanglah kepada persepsi masing-masing. Mungkin tahun ini merupakan tahun rezeki untuk saya melebarkan nama saya ke dunia luar. Jadi saya gunakan peluang ini sebaiknya.
“Alhamdulillah, Luna berminat untuk bekerjasama dengan saya menerusi lagu Paranoid. Sebelum bersetuju untuk bergandingan, saya ada perdengarkan lagu berentak dance ini kepadanya. Dia terus bersetuju sebab dia sendiri meminati lagu-lagu berkonsepkan dance,” katanya yang akan membuat rangka promosi lagu Paranoid di Indonesia tidak lama lagi.
Mengulas mengenai kerjasamanya dengan artis antarabangsa, AC yang mengikat kontrak bersama label Sony Music turut mempunyai perancangan sendiri untuk berduet dengan ke semua artis di bawah label yang sama.
“Saya mengikat kontrak dengan Sony Music sejak Mei lalu. Selain Paranoid, ada 11 lagi lagu solo saya termasuklah perancangan berduet dengan artis-artis Sony Music dari seluruh dunia.
“Saya sudah ada beberapa senarai nama penyanyi luar yang akan menjadi pasangan duet antaranya Pitbull. Pitbull pun dah setuju dengan perancangan ini dan saya harap impian ini akan terlaksana kelak,” katanya lagi.
AC juga sudah boleh tersenyum lega kerana percaturan lagu Paranoid nyanyiannya bersama Luna Maya sudah diputarkan di kelab-kelab malam di luar negara seperti Sweden. Bagaikan ada sesuatu dalam lagu ini kerana setiap mereka yang mendengar lagu ini pasti akan merasai suatu semangat yang membuak-buak dan sekaligus menaikkan elemen segar.
“Sebab itulah saya katakan tadi, tiada langsung perkataan lambat atau sebaliknya, sebab kini saya sendiri sudah mempunyai banyak pengalaman dan ia bukan hanya cakap-cakap kosong semata-mata.
“Saya sudah banyak kutip pengalaman sepanjang bergelar anak seni, jadi saya rasa kini sudah bersedia untuk mengintai pasaran antarabangsa,” katanya yang bakal menyusul lagu berjudul Peace Yo dan juga merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Hayden.
AC yang mempunyai program bual bicara sendiri, AC Di Sini turut tidak mendabik dada dan tidak sombong untuk menjadi pengacara pelbagai program yang kebanyakan menerusi saluran Astro, antaranya menjadi hos program realiti Akademi Fantasia dan Maharaja Lawak selain terjun ke bidang lakonan seperti drama bersiri Gerak Khas.
BENARLAH kata orang disebalik kejayaan lelaki itu ada seorang wanita yang menyokong di belakangnya dan menjadi kekuatan, itulah yang digambarkan oleh AC terhadap isteri tercinta, Emylia Rosnaida. AC selesa diuruskan sendiri oleh isterinya kerana baginya itulah cara dia meluangkan masa bersama.
AC bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang memahami dirinya yang sibuk dan anak-anak pula tidak sesekali merungut melihatkan ayahnya yang sibuk mencari rezeki.
Dia akan memastikan tugasnya sebagai seorang ayah kepada dua permata hati tidak terabai dan mendapat perhatian seperti anak-anak lain seusia mereka.
“Saya sungguh bertuah sebab ada isteri di belakang saya. Dia selalu menyokong setiap perjalanan karier seni, atas sebab itulah dia menjadi pengurus saya.
“Saya akui sejak mendirikan rumah tangga dengan dia, rezeki saya dalam bidang hiburan semakin banyak. Saya bekerja tujuh hari seminggu, keluar awal pagi dan pulang lewat malam. Tapi isteri banyak membantu,” katanya sambil memandang isterinya yang setia menemani dirinya dari awal sesi temu bual hingga akhir.
Bapa kepada Muhammad Reeve Damien, 11 tahun dan Fea Eryssa,7 tahun, beruntung kerana memiliki AC sebagai ayah mereka kerana prinsip AC hanya satu iaitu untuk menggembirakan anak-anak.
“Kalau ada acara melibatkan anak-anak di sekolah, saya akan pastikan jadual saya kosong dan hanya waktu itu saya akan luangkan masa bersama anak-anak.
“Andai orang lain yang sanggup bayar berpuluh ribu pun untuk gunakan khidmat saya, saya tetap akan tolak sebab itu sahaja masa untuk anak-anak,” katanya dengan nada tegas.
Malah, tidak lekang di bibirnya memuji isteri tercinta atas pengorbanan yang dilakukan demi memastikan pengurusan rumah tangga dan kerjaya seninya seimbang.
“Isteri saya akan bangun pagi untuk uruskan anak-anak ke sekolah, setiap hari. Betapa besar pengorbanan yang dia lakukan buat kami sekeluarga. Lepas uruskan anak-anak ke sekolah, dia pula akan uruskan jadual kerja seni saya, memang banyak kerja dia,” jelasnya lagi.
Disebabkan itu jugalah jika musim cuti persekolahan bermula, AC sekeluarga tidak pernah terlepas untuk pergi bercuti untuk meluangkan masa bersama.
“Sebenarnya anak-anak teringin nak main salji di Eropah, tetapi hingga kini impian mereka masih lagi tidak tertunai sebab kalau nak pergi musim salji, kena tunggu hujung tahun.
“Tapi masa itu saya pula yang tiada masa memandangkan program Maharaja Lawak Mega akan bersiaran tak lama lagi,” tuturnya lagi.
sumber - utusan
Blog Arkib
- November (59)
-
Blogger Comment
-
Facebook Comment
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)

0 comments :
Post a Comment