Chong Wei tetap turun berlatih
“TIADA apa yang saya boleh komen lagi, apa-apa (perkembangan baharu) boleh tanya menteri (Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar).”
Demikian respons ringkas pemain No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei selepas menamatkan sesi latihan bersama jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek dan seorang lagi pemain elit negara, Liew Daren sebagai rakan sparring di kem latihan skuad kebangsaan di Stadium Juara, Bukit Kiara pagi semalam.
Chong Wei digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengesahkan secara rasminya bahawa pemain berusia 32 tahun itu sebagai pemain yang gagal dalam ujian doping kelmarin.
Chong Wei diuji positif bahan terlarang dexamethasone ketika ujian air kencing yang dilakukan secara rambang pada Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark pada Ogos lalu.
Chong Wei yang membuat ujian sampel B di Hospital Universiti Oslo, Norway pada 5 November lalu turut disahkan positif mengandungi bahan yang sama.
Difahamkan kali terakhir Chong Wei mengikuti latihan bersama skuad negara ialah pada 20 Oktober lalu, kemudian dia mengambil cuti selama dua minggu sebelum berangkat ke Oslo pada 3 November.
Rashid ketika ditemui pemberita berkata, kehadiran Chong Wei di kem latihan negara memberi gambaran bahawa dia sudah terlalu rindu untuk kembali menjalani rutin hariannya bersama pemain-pemain yang lain.
“Mungkin dia sudah bosan sebab itu dia datang ke sini lagipun memang hidup dia bermain badminton, jadi kalau tidak berlatih memang boleh lihat kekosongan dalam kehidupan dia.
“Dia datang pun boleh hilangkan tekanan, lebih baik dia berlatih bagi mengekalkan tahap kecergasannya. Dia boleh datang berlatih lagi keranan sekarang dia hanya digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan,” tambah Rashid.
Mengulas lanjut mengenai isu doping Chong Wei yang kini hanya menunggu Jawatankuasa Panel Pendengaran Doping BWF bersidang, Rashid berharap kes yang masih tergantung itu dapat diselesaikan dengan lebih cepat.
“Apa yang penting sekarang ia dapat diselesaikan secepat yang mungkin sama ada dia masih boleh beraksi lagi atau tidak, kalau tidak macam sekaranglah masih tertunggu-tunggu, dia pun nampak menderita sebab tidak tahu apa keputusan muktamad BWF,” tambah Rashid.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini sedang bekerja keras untuk memberikan sokongan dengan melantik peguan sukan terkemuka, Mike Morgan untuk membantu membuat persiapan menghadapi kes itu.
Chong Wei boleh dikenakan hukuman gantung maksimum dua tahun kerana melanggar peraturan anti doping.
- kosmo -

0 comments :
Post a Comment